Peguam Negara saman Goldman Sachs RM18.9 bilion | MalaysiaBaru.org - Membina Malaysia Baru.

Advertisement

hicore

Peguam Negara saman Goldman Sachs RM18.9 bilion


Satu laporan berita mendakwa peguam negara Tommy Thomas akan memfailkan saman terhadap bank pelaburan Goldman Sachs berkaitan kes 1MDB dan mendapatkan ganti rugi AS$ 4.5 bilion (kira-kira RM18.89 bilion).

Memetik sumber "rasmi" yang biasa dengan penyediaan saman sivil, portal berita yang berpangkalan di Hong Kong, Asia Times melaporkan saman akan difailkan di mahkamah Amerika Syarikat.

Ia juga mendakwa Thomas akan mengemukakan hujah bahawa "pengurusan bank peringkat tertinggi" bank itu tahu mengenai penipuan dalam urusannya dengan 1MDB.

"Khususnya, hujah kes bahawa eksekutif senior Goldman tahu bahawa hasil daripada tiga terbitan bon 1MDB pada 2012 yang disusun bank itu disalurkan ke sebuah syarikat, Aabar BVI, yang ditubuhkan di British Virgin Islands untuk menyerupai sebuah syarikat yang sama bernama Aabar Investments, milik penjamin bon, International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi," kata laporan itu.

Saman itu akan membabitkan eksekutif bank kanan yang belum dikenakan pertuduhan jenayah oleh Jabatan Kehakiman AS berhubung dengan 1MDB, tambahnya.

Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan komen.

Pada 1 Nov, DOJ mendakwa dua bekas jurubank Goldman, Tim Leissner (gambar) dan Roger Ng Chong Hwa.

Leissner, bekas ketua bank itu di Asia Tenggara didakwa dengan tuduhan konspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram dan berkomplot untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) berhubung 1MDB.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan itu, dan dilaporkan didenda sebanyak AS$ 43.7 juta (RM183.43 juta).

Ng, yang juga bekas pegawai Goldman Southeast Asia, didakwa bersekongkol dengan dalang utama penipuan 1MDB, Jho Low yang bukan hanya melakukan pengubahan wang haram berbilion dollar daripada firma itu, tetapi juga melanggar FCPA dengan merasuah pegawai-pegawai dari Malaysia dan Abu Dhabi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mengatakan kerajaan sedang mendapatkan semula yuran yang dibayar 1MDB kepada Goldman berjumlah AS$588 juta.

Bank itu dikatakan memperolehi yuran bernilai AS$ 588 juta (RM2.468 bilion) untuk kerja-kerja dengan 1MDB, termasuk tiga tawaran bon pada tahun 2012 dan 2013.

Dalam wawancara dengan CNBC pada 13 Nov, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Goldman telah "menipu" Malaysia berhubung urusannya dengan 1MDB.

Mahathir berkata "terdapat bukti bahawa Goldman Sachs telah melakukan perkara yang salah."

"Jelas sekali kita telah ditipu melalui pematuhan oleh individu dari Goldman Sachs. Kawalan pematuhan bank "tidak berfungsi dengan baik," tambahnya.

Goldman bagaimanapun menafikan sebarang penipuan.

Share This Article

Comment

Tun Dr Mahathir Official YouTube Channel